SEJARAH

     PACSU telah dirangka penubuhannya dalam tahun 1946 dan didaftarkan secara rasmi pada tahun 1951. PACSU pada mulanya dikenali dengan nama Police Administrative And Clerical Services Union (Kesatuan Sekerja Pegawai-Pegawai Tadbir dan Kerani Pasukan Polis).

Nama “Kesatuan Sekerja Pegawai-Pegawai Tadbir dan Kerani Pasukan Polis” dipilih ketika itu adalah berdasarkan kepada perjawatan terdiri dari kalangan perkeranian. Walaubagaimanapun, konsep penubuhan PACSU adalah jelas bahawa ianya akan mewakili kesemua Pegawai Awam dalam Polis Diraja Malaysia. Pada tahun 1970-an pelbagai jawatan telah diwujudkan di PDRM termasuk Penterjemah , Perekod, Jurutaip, Pelayan Pejabat, IMG, Amra Preman telah memasuki Kesatuan sebagai ahli. Dengan pertambahan perjawatan dan keahlian ini maka mereka telah menyuarakan hasrat supaya nama Kesatuan ditukar kepada Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis (“PACSU”).

Di dalam Persidangan Perwakilan PACSU, isu ini telah diangkat dan telah dibahaskan begitu hangat sekali agar nama Kesatuan ditukar sinonim dengan keahlian yang diwakili. Para perwakilan telah menjalani undi sulit dan majoriti telah bersetuju dengan cadangan ini maka resolusi ini telah diberi mandat sepenuhnya kepada Urusetia PACSU untuk dibawa ke pegetahuan Kesatuan Sekerja bagi mendapatkan kelulusan .

Pada 5hb Mei 1980 pihak Pendaftar Kesatuan dengan secara rasmi meluluskan hasrat dan resolusi Perwakilan dan dengan itu PACSU telah dikenali dengan nama baru “Police Administrative And Civilian Staff Union, Peninsular Malaysia” (“Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam, Pasukan Polis Semenanjung Malaysia”).

PACSU telah mengadaptasikan pelbagai ide–ide bagi kepentingan ahli-ahli dan telah merealisasikan program-program dan aktiviti-aktiviti yang berfaedah ke arah menjana PACSU ke persada yang gemilang dan terbilang seiring dengan perkembangan dan kemajuan ketika itu. Keunggulan dan kepesatan PACSU melonjakkan namanya maka dalam waktu yang sama PACSU telah diiktiraf oleh Jabatan Polis Diraja Malaysia.

Dalam mengharungi liku-liku kehidupan dalam PACSU dengan kepelbagaian rintangan yang mendatang PACSU tetap utuh dan memperjuangkan nasib ahli-ahlinya ke maksima yang mungkin. Perjalanan yang begitu jauh diterokai dan pelbagai kemajuan telah dicapai. Semangat gigih dalam mempertingkatkan perjuangan dan tuntutan kepada Jabatan Polis Diraja Malaysia semata-mata untuk kepentingan Ahli-ahli PACSU. Tidak dapat dinafikan bahawa PACSU kini telah dapat memenuhi impian ahli–ahlinya dalam era globalisasi ini.

Dengan ketabahan, kesabaran dan komitmen yang tinggi PACSU telah menyambut Perayaan Jubli Emas semasa Majlis Persidangan Perwakilan PACSU Ke -29 pada September 2002 di Federal Hotel Kuala Lumpur. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Hj. Zainal Abidin bin Hj. Zin –Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Setahun selepas Persidangan Perwakilan tersebut, PACSU telah dianugerahkan Kesatuan Sekerja Contoh Sektor Awam pada 17hb Mei 2003 sempena Sambutan Hari Pekerja 2003 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Anugerah ini telah disampaikan oleh Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Dr. Mahathir bin Mohamad ketika itu. Semua EXCO PACSU telah hadir menyaksikan hari kegemilangan tersebut. Kejayaan ini adalah kejayaan Ahli-Ahli PACSU.

PACSU akan sentiasa peka dan akan merancang Plan Strategik 5 tahun PACSU bagi memantapkan lagi kekuatan dan kesinambungan Kegemilangan PACSU dengan menyemai benih-benih yang terpilih. Dengan itu harapan kami agar semua ahli-ahli menyahut moto PACSU “ BERSATU MEMBANTU BERSAMA PACSU” dan kita akan “Terapung Sama Hanyut dan Tenggelam Sama Basah”.