IPK Pahang | 12 Jun 2025 – Telah berlangsungnya Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PACSU Cawangan Pahang Kali ke 53 Tahun 2025 bagi Penggal 2024/2027 yang bertempat di Dewan Kelisa, Mess Pegawai Kanan, Markas Briged Tenggara, PGA yang telah disempurnakan oleh YDH DCP Dato’ Azry Akmar bin Dato’ Hj. Ayob, Timbalan Ketua Polis Pahang.
Sebelum acara perasmian, PACSU Cawangan Pahang terlebih dahulu telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-53 Tahun 2025 dengan dihadiri seramai 140 org Ahli Pacsu dari seluruh daerah di Negeri Pahang termasuk Briged Tenggara PGA, Batalion 7 PGA dan Pasukan Marin Wilayah 3 Kuantan.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Puan Seri Embun binti Ishak selaku Pengerusi Pacsu Cawangan Pahang serta dihadiri oleh Pegawai Kanan Pacsu Pusat iaitu Saudara Mohd Azli b. Suhaimi, Setiausaha Agung, Saudara. Rohaizad b. Khalil, Timbalan Setiausaha Agung dan Yang Mulia saudara. Raja Hazlan bin Raja Hussin, Bendahari Agung Pacsu Malaysia.
Dalam mesyuarat ini telah dibincangkan beberapa isu dan usul yang penting yang perlu diketengahkan oleh PACSU Pahang kepada pucuk pimpinan dan PACSU pusat dengan harapan dapat sama – sama mencari titik penyelesaian kepada isu – isu yang dibangkitkan tersebut.
Acara Perasmian pada jam 12.00 Tengah hari, turut dihadiri oleh SAC Datuk Nik Ros Azhan bin Nik Ab Hamid, Komander Briged Tenggara PGA, dan Ketua-ketua Jabatan PDRM Pahang, wakil Komander Pasukan Marin Wilayah 3 dan wakil Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA. Turut serta memeriahkan majlis perasmian adalah Yg Berbahagia Encik Maliki bin Omar, Pengerusi Cuepacs Negeri Pahang.
Kemuncak acara turut diadakan cabutan bertuah kepada ahli yang hadir sebagai memeriahkan suasana sebelum semua ahli kembali ke formasi masing-masing.