MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PACSU CAWANGAN PERAK KALI KE-74

Ipoh, 26 Jun 2025Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), Ipoh sekali lagi menjadi saksi kepada sejarah apabila Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis (PACSU) Cawangan Perak Kali Ke-74 berlangsung dengan penuh jayanya.

Majlis dirasmikan oleh Naib Presiden PACSU Malaysia, Sdra Mohd Fadli bin Mohd Noor, yang turut mempengerusikan mesyuarat kali ini. Beliau diiringi oleh Sdra Mohd Azli bin Suhaimi (Setiausaha Agung), YM Raja Hazlan bin Raja Hussin (Bendahari Agung), serta Sdra Mohammad Zameer bin Mohamed Akaram, selaku Pengerusi PACSU Cawangan Perak.

Kehadiran hampir 400 ahli dari seluruh kontinjen Perak menjadikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ini sebagai yang teramai dalam sejarah pelaksanaannya berbanding cawangan-cawangan lain di seluruh negara — satu pencapaian yang membanggakan bagi PACSU Perak.

Sepanjang mesyuarat, pelbagai perkara penting telah dibentangkan dan dibincangkan, termasuk:

  • Pembentangan Minit Mesyuarat yang lalu;
  • Laporan Kewangan Semasa;
  • Isu-isu kebajikan dan tuntutan ahli sepanjang tahun 2024–2025;
  • Cadangan penambahbaikan dan perancangan jangka panjang kesatuan.

Perbincangan berlangsung dalam suasana yang harmoni, telus dan penuh profesionalisme. PACSU Cawangan Perak dilihat sangat komited dalam mengambil maklum setiap aduan serta cadangan daripada ahli, sekali gus memberi jaminan bahawa segala permasalahan yang dibangkitkan akan dibawa ke peringkat atasan untuk perhatian dan tindakan lanjut.

Turut hadir memeriahkan mesyuarat ialah Setiausaha PACSU Cawangan Perak, Sdri Rosdiah binti Safri, dan Bendahari, Sdri Nurul Aini binti Ishak, bersama-sama barisan Ahli Jawatankuasa PACSU Perak yang sentiasa aktif dan berdedikasi dalam memperjuangkan suara ahli.

Majlis diakhiri dengan sesi cabutan bertuah yang mencetuskan suasana ceria dan mesra, sekali gus mengukuhkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan ahli PACSU.

Mesyuarat Agung Tahunan kali ini bukan sekadar satu pertemuan rasmi, malah menjadi platform penting untuk menyatukan suara dan memperkasa perjuangan kesatuan demi kebajikan semua ahli di masa hadapan.