PERHIMPUNAN PEGAWAI AWAM BERSAMA KETUA POLIS NEGARA SEMPENA HARI POLIS KE-212

Kuala Lumpur, 23 April 2019 : Bagai aur dengan tebing, kesepakatan serta kerjasama padu antara pegawai kanan, pegawai pangkat rendah dan pegawai awam yang berkhidmat di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kelancaran urusan pentadbiran pasukan.

“Pucuk pimpinan PDRM tidak pernah sesekali melupakan kebajikan pegawai awam yang sama penting kedudukannya dengan pegawai beruniform”.

“Bahkan PDRM sentiasa mengambil cakna akan setiap isu yang diutarakan oleh Persatuan Pegawai Awam PDRM dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian terbaik bagi setiap permasalahan yang dibangkitkan,” ujar Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, CP Dato’ Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM Kali ke-13 yang bertemakan ‘PDRM dan Pegawai Awam Berpisah Tiada’ yang diadakan di Maktab PDRM Kuala Lumpur.

Majlis yang diadakan bersempena sambutan Hari Polis ke-212 tersebut, turut dihadiri oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Haji Azih Muda, Presiden Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU), Encik Anuar Mamat dan 320 pegawai awam dari seluruh negara.

Dato’ Seri Abdul Hamid yang mewakili pucuk pimpinan PDRM turut menyampaikan penghargaan kepada seluruh pegawai awam yang telah bersama-sama berkorban masa dan tenaga demi pasukan.

Kemuncak acara tadi, seramai 122 pegawai awam telah dianugerahkan Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara sebagai menghargai sumbangan dan prestasi cemerlang yang telah ditunjukkan oleh mereka demi memacu pasukan ke arah yang  lebih cemerlang.

Program perhimpunan tadi diakhiri dengan Majlis Salam Malam Mesra sebagai simbolik merapatkan hubungan silaturrahim sesama warga PDRM dan meraikan tetamu yang hadir. Tetamu yang hadir telah dihiburkan dengan persembahan dari wakil kontinjen/cawangan.

,