Pulau Pinang, 22/06/2025 – Satu Majlis Penyerahan Bantuan di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 Peringkat Zon Utara telah berlangsung dengan jayanya pada 22 Jun 2025 bertempat di Hotel Ixora, Pulau Pinang. Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Zon Utara yang melibatkan negeri Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak ini bertujuan menyokong pembangunan serta kebajikan kesatuan sekerja di kawasan terbabit.
Persatuan PACSU Cawangan Perak telah diwakili oleh Pengerusi Cawangan, Sdra Mohammad Zameer bin Mohamed Akaram; Setiausaha, Sdri Rosdiah binti Safri; serta beberapa orang Ahli Jawatankuasa.
Dalam majlis tersebut, PACSU Cawangan Perak telah menerima bantuan berbentuk pembelian perkakasan komputer bernilai RM4,880.00 sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasa pengurusan serta aktiviti kesatuan melalui sokongan teknologi dan digitalisasi.
Bantuan yang diterima ini amat dihargai dan akan dimanfaatkan sebaiknya demi kelancaran urusan pentadbiran serta perkhidmatan kepada ahli kesatuan. Pihak PACSU Cawangan Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak JHEKS atas sokongan berterusan terhadap pembangunan kesatuan sekerja di peringkat negeri dan kebangsaan.