PULAPOL Kuala Lumpur, 30 Jun 2025 (Isnin) – Komitmen terhadap kebajikan dan suara penjawat awam terus diperkasa apabila YDh DCP Alzafny Bin Ahmad, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU), Cawangan PULAPOL Kuala Lumpur Kali-36 tahun 2025. Majlis penuh bermakna ini berlangsung dengan meriah di Dewan 3, UPTM.
Dalam ucapannya, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur menyeru agar lebih ramai Pegawai Awam yang belum menjadi ahli PACSU untuk tampil menyertai kesatuan ini. Menurut beliau, PACSU bukan sekadar satu organisasi kesatuan biasa, malah merupakan platform rasmi yang diiktiraf untuk menyuarakan isu dan memperjuangkan hak kebajikan penjawat awam dalam perkhidmatan polis.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YDh ACP Muhammad Najib Bin Hamzah – Timbalan Komandan (Latihan), Pegawai Kanan Polis, barisan Ahli Lembaga PACSU serta para Pegawai Awam yang hadir bagi menunjukkan sokongan penuh terhadap usaha memperkasa suara pekerja melalui platform kesatuan.
Kemeriahan majlis mencerminkan semangat setiakawan dan solidariti yang tinggi dalam kalangan warga kerja PULAPOL KL, sekali gus membuktikan bahawa PACSU terus relevan dan berperanan penting dalam memperjuangkan kepentingan anggotanya secara berterusan.
Kredit : FB PULAPOL KL