PERUTUSAN TAHUN BARU 2020 OLEH PRESIDEN PACSU

Anuar Bin Mamat (PRESIDEN PACSU)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang telah memberikan nikmat dan rahmat kepada kita, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyatu umat manusia sehingga akhir zaman.

Tahun 2019 bakal melabuhkan tirainya. Kini muncul pula tahun 2020, yang mana seperti biasa kita akan memperbaharui semangat dan azam supaya tahun baru ini menjadi lebih bermakna dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi sama ada membuat perubahan pada diri ataupun organisasi.

Syukur ke hadrat Yang Esa kerana dengan rahmat dan izin-Nya jua, kita diberi kesempatan untuk menempuh gerbang 2020 dengan fajar tahun baharu yang bakal melabuhkan tirai 2019. Semoga kedatangan 2020 ini membawa bersama semangat dan azam baharu untuk kita mempertingkatkan lagi kecemerlangan jati diri, Kesatuan (PACSU) dan juga Pasukan PDRM.

Dalam memartabatkan hala tuju dan memantapkan imej kecemerlangan PACSU yang kita sayangi, saya menyeru semua ahli-ahli PACSU agar terus berkhidmat dengan penuh  beramanah dan bertanggungjawab dengan iltizam, semangat serta kecekalan yang tinggi. Biar sejauh mana pun cabaran dan rintangan yang mendatang namun kita tetap berdiri teguh, utuh dan kukuh bersama-sama PACSU dan PDRM.

Fahami dan hayatilah sepenuhnya visi, misi dan objektif Jabatan agar segala tindakan kita nanti tidak tersasar dari landasan dan harapan semua pihak. PACSU percaya kita sentiasa mempunyai peluang dan ruang untuk terus meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap yang lebih tinggi kerana kita mempunyai kepakaran, potensi dan kemudahan yang sentiasa berkembang.

Apa yang perlu adalah kita semua sentiasa mengkaji serta memperbaiki pendekatan dan inisiatif yang telah, sedang dan akan kita ambil bersesuaian dengan cabaran-cabaran semasa dan mendatang.

Semoga langkah yang kita ambil adalah langkah menuju kejayaan dan kecemerlangan. Semoga segala khidmat bakti dan usaha murni kita untuk memartabatkan PACSU akan diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT serta mencapai matlamat dengan jayanya.

Selamat Menyambut Tahun 2020…

TAHUN BARU 2020 3