SALAM AIDILADHA 2021

Eid Ul Adha

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd.

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi- tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya seluruh umat Islam akan menyambut hari raya Aidiladha esok.

Aidiladha adalah hari kebesaran Islam yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia dengan penuh keinsafan dan pengertian yang besar. Kisah dan sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim Alaihissalam dan anakanda Baginda Nabi Ismail Alaihissalam menjadi iktibar yang perlu sentiasa dihayati oleh seluruh umat Islam dalam kita menghadapi cabaran kehidupan seharian.

Bagi kita Pegawai Awam PDRM, iktibar daripada Aidiladha menjadi panduan dalam menghadapi cabaran wabak Covid-19. Aidiladha pada kali ini mengingatkan kita tentang erti kesabaran dan berlapang dada dalam menempuh kesukaran hidup. Pengorbanan sepenuh jiwa dan raga telah saudari-saudari lakukan.

Marilah kita bersama-sama mencari keredaan-Nya dengan menjunjung amanah dalam menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan demi agama, bangsa dan negara. Semoga pengorbanan yang kita curahkan dengan penuh kecintaan, kesungguhan dan keikhlasan ini diterima sebagai ibadah dan diberikan ganjaran yang setimpal serta kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT.

Namun begitu, saya hendak mengingatkan bahawa kita masih belum berjaya sepenuhnya dalam memerangi wabak Covid-19. Kita masih belum diisytiharkan bebas daripada pandemik ini. Bahkan sejak mutakhir ini, terdapat sedikit peningkatan kes-kes positif Covid-19 di negara kita.

Justeru, kita tidak boleh leka dan alpa. Sebaliknya kita mesti terus berusaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard atau SOP yang ditetapkan oleh jabatan dan kerajaan.

Di kesempatan ini, saya dan barisan kepimpinan PACSU Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua Pegawai Awam PDRM. Raikanlah Aidiladha secara bersederhana sebagaimana tuntutan syariat dan hayatilah erti pengorbanan di sebalik Aidiladha pada kali ini. Tanpa mengenal erti putus asa, marilah kita bersama – sama memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala semoga wabak Covid-19 segera berakhir. Sesungguhnya, pertolongan dan rahmat Allah itu sangat hampir kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Maka tingkatkanlah ketakwaan kita dan berdoalah kepada-Nya. Mudah-mudahan doa kita dimakbulkan dan kita beroleh kemenangan.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd.