PERUTUSAN PRESIDEN PACSU SEMPENA TAHUN BAHARU 2024

Anuar Bin Mamat

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang telah memberikan nikmat dan rahmat kepada kita, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyatu umat manusia sehingga akhir zaman.

Tahun 2023 bakal melabuhkan tirainya. Kini muncul pula tahun 2024, yang mana seperti biasa kita akan memperbaharui semangat dan azam supaya tahun baharu ini menjadi lebih bermakna dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi sama ada membuat perubahan pada diri ataupun organisasi.

Syukur ke hadrat Yang Esa kerana dengan rahmat dan izin-Nya jua, kita diberi kesempatan untuk menempuh gerbang 2024 dengan fajar tahun baharu yang bakal melabuhkan tirai 2023. Semoga kedatangan 2024 ini membawa bersama semangat dan azam baharu untuk kita mempertingkatkan lagi kecemerlangan jati diri, Kesatuan (PACSU) dan juga Pasukan PDRM.

Dalam memartabatkan hala tuju dan memantapkan imej kecemerlangan PACSU yang kita sayangi, saya menyeru semua ahli-ahli PACSU agar terus berkhidmat dengan penuh beramanah dan bertanggungjawab dengan iltizam, semangat serta kecekalan yang tinggi. Biar sejauh mana pun cabaran dan rintangan yang mendatang namun kita tetap berdiri teguh, utuh dan kukuh bersama-sama PACSU dan PDRM.

Saya percaya setiap daripada kita telah melalui tahun 2023 dengan pelbagai peristiwa suka duka dan pahit manis yang pastinya menjadi kenangan dan iktibar buat kita semua.

Orang kata hari semalam adalah memori, hari ini adalah realiti dan hari esok masih misteri. Begitulah kehidupan kita.

Jatuh bangun dalam hidup adalah perkara biasa. Yang penting bukan bagaimana kita jatuh, tetapi bagaimana kita mengumpul kekuatan untuk bangkit semula dan melangkah ke hadapan dengan yakin dan gagah untuk mengejar impian kita.

Fahami dan hayatilah sepenuhnya visi, misi dan objektif Jabatan agar segala tindakan kita nanti tidak tersasar dari landasan dan harapan semua pihak. PACSU percaya kita sentiasa mempunyai peluang dan ruang untuk terus meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap yang lebih tinggi kerana kita mempunyai kepakaran, potensi dan kemudahan yang sentiasa berkembang.

Apa yang telah kita lalui itu jadikan pedoman dan pengajaran. Bersyukur atas segala kejayaan yang kita capai. Bersyukur juga atas segala dugaan yang kita hadapi kerana semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Apa yang perlu adalah kita semua sentiasa mengkaji serta memperbaiki pendekatan dan inisiatif yang telah, sedang dan akan kita ambil bersesuaian dengan cabaran-cabaran semasa dan mendatang.

Semoga langkah yang kita ambil adalah langkah menuju kejayaan dan kecemerlangan. Semoga segala khidmat bakti dan usaha murni kita untuk memartabatkan PACSU akan diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT serta mencapai matlamat dengan jayanya.

Selamat Menyambut Tahun Baharu 2024…

NEW YEAR 2024_20231231_222807_0000

,