CUEPACS TOLAK CADANGAN MANSUHKAN SKIM BERPENCEN, KAJI SEMULA PENCEN LANTIKAN POLITIK

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak sepatutnya memansuhkan skim pencen penjawat awam yang secara puratanya berkhidmat untuk negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan.

Pendirian itu disuarakan CUEPACS, memandangkan penjawat awam ketika ini, kebanyakannya lebih memilih skim berpencen kerana ia dianggap sebagai lebih baik dan menjamin kesejahteraan selepas persaraan kelak.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, dengan skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat tidak membantu penjawat awam, mempunyai

simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kelak.
“Disebabkan itulah kebanyakan penjawat awam lebih memilih skim pencen kerana kerana ia adalah keistimewaan yang terbaik kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik, jika kekangan kewangan yang menghalang kerajaan untuk meneruskan skim pencen perkhidmatan awam selepas ini.

Ketika ini katanya, ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat membabitkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk yang dilantik ke jawatan eksekutif seperti EXCO negeri, menteri serta timbalan menteri juga layak untuk menerima pencen.

“Pemansuhan pemberian pencen kepada golongan ini terlebih dahulu, langkah yang tepat kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun saja. Kumpulan ini bukan saja menerima elaun serta peruntukan tinggi semasa berkhidmat malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun.

“Keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes-kes yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam saja,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sewajarnya mengadakan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum terus menetapkan skim caruman KWSP secara mandatori kepada lantikan baharu kelak.

“Pandangan CUEPACS jelas, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara perlulah berlandaskan prinsip tidak dikurangkan faedah semasa yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini.

“Kerajaan harus memastikan gaji diterima hari ini mampu memberi kesejahteraan hidup untuk penjawat awam dan dalam masa yang sama, gaji ini mampu memberi simpanan untuk hari persaraan kelak.

“Sekiranya kerajaan tetap ingin menamatkan skim pencen ini, ia hendaklah terpakai kepada lantikan politik yang layak menerima pencen ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, CUEPACS menyambut baik pencerahan diberi Jabatan Perkhidmatan Awam bahawa pengambilan secara lantikan kontrak sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan adalah langkah sementara bagi pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam bermula 1 Februari 2024.

“Perjawatan tetap masih wujud tetapi dalam tempoh interim ini hanya dilantik sebagai kontrak sebelum dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang akan dimuktamadkan kelak.

“Situasi semasa ini tidak membabitkan lantikan tetap sebelum ini dan tidak seperti kefahaman orang ramai bahawa lantikan baharu kelak hanya diberikan status kontrak saja,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1204585/cuepacs-tolak-cadangan-mansuhkan-skim-berpencen-kaji-semula-pencen

WhatsApp Image 2024-01-26 at 8.39.14 AM (1)

,