SELANGOR, 26 SEPTEMBER 2024 –PACSU Cawangan Selangor telah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Persidangan Perwakilan Tri Tahunan PACSU Ke-39 Sesi Tahun 2024 – 2027 yang diadakan di Grand Barakah Hotel, Ampang, Selangor dengan penuh jayanya. Persidangan ini telah dihadiri oleh perwakilan PACSU dari seluruh kontinjen termasuk Perwakilan PACSU Cawangan Bukit Aman
Tertib persidangan pada kali ini dimulakan dengan dokumentasi pelaporan, mesyuarat dan seterusnya persidangan selama 3 hari 2 malam. Di samping itu juga, perbincangan berkenaan aktiviti, kewangan serta usul-usul diperingkat kontinjen dengan lebih holistik dan reflektif dijalankan sepanjang persidangan ini demi menjaga kebajikan serta penambahbaikan dalam tugas Pegawai Awam PDRM agar lebih proaktif di masa akan datang.
Persidangan ini dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, YDH IG Tan Sri Razarudin bin Husain. Turut hadir Ketua Polis Selangor, YDH CP Dato’ Hussein Omar Khan, dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, YDH DCP Dato’ Ts. Azizee bin Ismail.
Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Polis Negara menyampaikan penghargaan kepada PACSU atas usaha memperjuangkan hak dan kepentingan Pegawai Awam PDRM di peringkat kebangsaan melalui pelbagai saluran, termasuk CUEPACS dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Beliau turut menekankan kepentingan toleransi, kerjasama, dan semangat esprit de corps dalam kalangan Pegawai Awam yang telah menyumbang kepada pengukuhan imej PDRM.
Sebagai tambahan, sebuah montaj khas ditayangkan sempena Sambutan Jubli Intan Ke-75 Tahun PACSU Malaysia. PACSU Kontinjen Kedah telah dinobatkan sebagai PACSU Cawangan Terbaik bagi sesi 2021-2024.
Sesungguhnya, tujuan utama persidangan adalah sebagai medium memperjuangkan kepentingan dan kebajikan Pegawai Awam PDRM serta untuk menjamin kelestarian PACSU di masa akan datang. Persidangan ini diakhiri dengan pengumuman keputusan undian bagi jawatan Pegawai Kanan PACSU Malaysia Sesi 2024 – 2027.