SISTEM SARAAN BAHARU GANTI SSM – CUEPACS

CUEPACS

MIRI: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bercadang mengemukakan sistem saraan baharu yang lebih bersifat inklusif dan memberi banyak faedah kepada penjawat awam bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata pihaknya ketika ini sedang mengumpul segala input berkaitan bagi membantu proses merangka draf cadangan itu sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

“Kita mahukan sistem saraan baharu yang lebih jelas bersesuaian dengan keadaan hidup yang semakin mencabar.

“Menjelang 2020 dan era seterusnya, kita memasuki fasa baharu yang lebih mencabar. Justeru, sudah tentu kita mahukan sistem saraan baharu yang lebih jelas membabitkan pembangunan dan laluan kerjaya, upah dan kebajikan penjawat awam,” katanya pada sidang media Pra-Persaraan Anggota Perkhidmatan Awam, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai ketiadaan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) seperti diumum kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, Azih berkata, pihaknya akur dengan keputusan itu.

Bagaimanapun, beliau meminta kepemimpinan negara merangka satu insentif bagi menyuntik semangat penjawat awam.

“Walaupun ianya perkara yang amat ditunggu penjawat awam, disebabkan itu keputusan kerajaan, kami akur,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, pada masa akan datang, pihaknya mahu kerajaan mengawal kos sara hidup yang semakin melonjak.

“Tidak mengapa sekiranya tiada kenaikan gaji, tetapi kos sara hidup perlu diturunkan,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online