PERHIMPUNAN PEGAWAI AWAM KALI KE 12 TAHUN 2018

Cheras, 13 Disember 2018 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang berusaha untuk menambah perjawatan pegawai awam di semua peringkat kontinjen, daerah dan formasi bagi melicinkan penugasan melibatkan urusan pentadbiran selain menampung beban tugasan harian yang semakin bertambah. Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, PDRM juga akan menambah baik pembangunan modal insan melalui latihan, kursus dan seminar bagi melahirkan pegawai awam yang kompeten serta berilmu pengetahuan tinggi sekaligus mampu memberikan perkhidmatan yang profesional kepada pasukan. Perkara itu dimaklumkan di hadapan lebih 180 pegawai awam yang hadir semasa beliau merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM Kali Ke-12 di Maktab PDRM, pagi semalam.

Beliau juga mengingatkan semua pegawai awam supaya sentiasa menerapkan pembudayaan integriti semasa menjalankan tugas dan tidak terlibat dengan sebarang perbuatan yang boleh menjatuhkan nama dan imej pasukan. Tegas Tan Sri Mohamad Fuzi lagi, sekiranya terdapat pegawai awam yang melakukan kesalahan seperti rasuah, salah guna kuasa, langkah agresif seperti tindakan penamatan perkhidmatan boleh diambil mengikut Peraturan 49: Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau turut menyampaikan berita gembira di mana Kursus Persediaan Persaraan yang dilaksanakan di bawah Yayasan Pengaman akan turut melibatkan bakal pesara pegawai awam khususnya ahli Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU), Sarawak (SPOCSU) dan Sabah (SPACSU). Dalam majlis yang sama, Tan Sri Mohamad Fuzi turut melancarkan pakaian seragam yang akan digunakan oleh Pembantu Operasi Gred N11 dan penyampaian sijil penghargaan kepada 70 pegawai awam PDRM yang telah mempamerkan prestasi kerja yang cemerlang.

Pada sebelah malam pula, para hadirin diraikan dalam Majlis Salam Mesra bertepatan dengan tema perhimpunan pada kali ini iaitu ‘PDRM dan Pegawai Awam Berpisah Tiada’. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Cawangan Khas merangkap Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan Pegawai Awam 2018, CP Dato’ Abdul Hamid Bador, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), CP Dato’ Zamri Yahya, Presiden PACSU, Sdra. Anuar Mamat, Timbalan Presiden CUEPACS, Tuan Haji Zainal Ismail dan Pegawai Awam dari seluruh kontinjen dan formasi.

,