PERSIDANGAN PERWAKILAN TRI-TAHUNAN PACSU KE-39 SESI 2024-2027

Ampang, Khamis 26 September 2024 – Majlis Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan PACSU Ke-39 Sesi 2024 – 2027 telah diadakan selama 3 hari bermula 24/09/2024 sehingga 26/09/2024 di Hotel Grand Barakah, Ampang, Selangor Darul Ehsan. Saudara Muhd Rusydi bin A.Rashid, Pengerusi PACSU Kedah telah hadir sebagai Ahli Majlis Exco bersama dengan Saudara  Md. Saad bin Ismail yang dilantik sebagai Pengerusi Ahli Jawatankuasa Tetap Peraturan Persidangan dan 6 orang ahli perwakilan Kedah.

Dalam persidangan ini, Pegawai Kanan PACSU telah membentangkan laporan aktiviti, kewangan dan lain-lain hal yang berkaitan dengan persatuan. Selain itu, dalam persidangan ini juga turut membincangkan tentang usul-usul yang dibawa oleh semua cawangan. PACSU Kedah telah membawa 5 usul yang telah diterima tanpa bahas dan akan diangkat ke peringkat Kongres Kesatuan Sekerja (Cuepacs) yang akan diadakan nanti.

Persidangan Ke-39 ini telah dirasmikan oleh YDH Tan Sri Razarudin bin Husain, Ketua Polis Negara dalam Majlis Perasmian Tri-Tahunan dan Sambutan Jubli Intan PACSU 75 Tahun yang diadakan pada 25 September 2024. Dalam majlis perasmian tersebut PACSU Cawangan Kedah telah dinobatkan sebagai Cawangan Terbaik dan menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000, trofi dan sijil.

Dalam ucapannya, YDH Ketua Polis Negara berharap warga perkhidmatan awam harus proaktif dan inovatif dalam meningkatkan kompentensi diri secara menyeluruh merangkumi pengetahuan, kemahiran dan keupayaan ke arah peningkatan produktiviti penjawat awam agar lebih berdaya saing sejajar dengan arus globalisasi semasa.

Dalam persidangan kali ini juga turut diadakan pengiraan undi untuk pemilihan Pegawai Kanan PACSU. Sebanyak 6 jawatan telah dipertandingkan iaitu jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Bendahari Agung, Timbalan Setiausaha Agung dan Pegawai Pelajaran bagi penggal 2024-2027.

Kepimpinan PACSU Kedah dan semua ahli PACSU Kedah mengucapkan tahniah kepada semua calon yang telah menang dalam pemilihan tersebut. Diharapkan agar semua Pegawai Kanan yang telah dipilih terus memacu PACSU ke arah matlamat dan objektif penubuhan serta sentiasa memastikan kebajikan Pegawai Awam PDRM terus dijaga dan dipelihara.

Turut hadir sama dalam persidangan tersebut sebagai pemerhati DSP Safarina bt Zulkifli, PT Persatuan, Bukit Aman; Presiden dan wakil Kesatuan Pegawai Awam Polis Sarawak (SPOCSU) dan wakil dari Kesatuan Kakitangan Tadbir dan Awam Polis Sabah (SPACSU).

,